KADANG kala saya naik meluat dengan perangai sesetengah wanita yang tak habis-habis menangisi masalah keluarga. Ada kata suami ada kekasih, suami berpoligami, tak kurang juga yang kena dera secara mental dan fizikal. Semuanya masalah hati dan perasaan.
''Semua masalah disebabkan ada pihak berasa agihan kasih sayang tidak adil campur tangan orang ketiga, ditipu suami, keadilan memikul tanggungjawab yang terletak dibahu wanita sahaja. Peliknya walaupun perasaan mereka dilukai namun masih ramai wanita takut bertindak mempertahankan diri! Mengapa ini terjadi?'' tanya Puan Farahazwan dalam emelnya.''Semua masalah itu tidak akan ada kesudahannya, selagi isteri tidak belajar bagaimana untuk mengatasinya. Mereka sedar semuanya berpunca daripada orang ketiga yang mendakwa jodohnya telah ditakdirkan. Orang ketiga mahukan kasih sayang. Dia pertahankan haknya tak kisahlah ada rumahtangga lain musnah asalkan hajatnya tercapai.
.''Namun yang buat saya terkilan bila ada isteri dan anak-anak jadi mangsa keganasan suami-suami yang berpoligami. Saya sedih sangat lihat masih ada isteri yang sanggup pertahankan badannya dipukul dan dihina kerana sayangkan suami. Wahai isteri, tolonglah jangan tunggu sampai anda dan anak-anak cacat baru hendak dapatkan pertolongan.
Pelindung
''Kalau suami yang anda harapkan menjadi pelindung sudah mula angkat kaki tangan memukul anda dan anak-anak untuk melepaskan kemarahannya, jangan bermimpi yang anda dan anak-anak selamat hidup dengannya. Tak payah tunggu! sila angkat kaki!
''Setiap kita ada pilihan, pilihlah untuk hidup sejahtera atau sebaliknya. Jangan takut dengan rezeki dan hari depan, serahkan kepada-Nya.
''Saya suka berikan pandangan dari beberapa situasi yang mungkin boleh kita fikirkan. Terpulanglah kepada anda memikirkan. Mungkin ada yang setuju, mungkin ada tidak setuju. Iaitu tentang reaksi dan tindakan anda jika suami ingin berpoligami
''Pertama, benarkan saja. Terutamanya kalau suami anda berkemampuan lahir batin. Kerana kalau disekat, dia akan naik 'hantu' bila hasratnya dibantah. Ingat kepada Allah. Suami bukan hak kita. Hanya pinjaman. Mungkin sudah takdirnya dia ada jodoh lagi. Kuatkan semangat dan jangan susah hati. Berserah kepadaNya.
''Kedua, kalau suami tak minta berpoligami, tapi buat maksiat di belakang kita? Tindakan anda suruh dia kahwin. Cari borang kebenaran berpoligami dan deraf surat berjanjian supaya dia buat perjanjian tidak menganiaya anda dan beri nafkah anak anak.
''Buat maksiat memang seronok, sebab perisanya syaitan yang beri. Selagi tidak diikat dengan tanggungjawab, selagi itulah suami tak henti buat maksiat, jadi suruh dia kahwin. Jika dia suami yang bertanggungjawab pasti dia tak berani. Memang seronok buat maksiat tanpa tanggungjawab. Bila dah kahwin baru dia tahu langit tinggi atau rendah.
''Ketiga, jika anda tahu suami tak mampu berpoligami dan anda tak mahu bantu, bersedialah bercerai secara baik, tambahan jika suami sudah hilang rasa sayang terhadap anda. Langsung tak ada hati hendak pegang anda. Tak payahlah merayu-rayu. Lagi teruk jika dia anggap anda sudah tidak wujud dalam hidupnya. Maka anggaplah jodoh sudah habis.
''Tetapi berbincanglah baik-baik tentang masa depan anak-anak. Bersikap rasional dan beri keutamaan untuk mencari jalan penyelesaian tentang nafkah.
''Keempat, kalau suami jenis suka naik tangan kaki ke badan sampai cedera berdarah tunggu apa lagi, memang dah rezeki anda terlepas daripada genggaman suami zalim. Tapi sebelum itu simpan segala rekod dan bukti. Tuntut hak anda. Kalau suami jenis cepat 'meletup' segera dapatkan pertolongan sebelum anda maut.
''Memang banyak cabaran berumahtangga. Seronok hanya seketika semasa bercinta. Hari semalam dan hari ini tidak menjanjikan kesudahan yang baik untuk hari esok. Apa yang penting, lengkapkan diri dengan pengetahuan dalam berumah tangga, buka bank akaun simpanan anda sendiri demi masa depan. Ingat pesan orang tua-tua 'suami macam daki di kulit' bila-bila masa dia boleh buang anda.
''Jangan mengharapkan balasan daripada manusia atau suami anda. Tetapi, berilah yang terbaik sebagai seorang isteri dan ibu kepada suami anda. Anggaplah semua pengorbanan anda itu sebagai tanggungjawab dan komitmen anda sebagai hambaNya.
''Seperkara yang lebih penting dalam hidup kita, anda mesti bahagiakan diri anda dahulu. Jangan fikir hanya suami sahaja boleh membahagiakan anda. Anda boleh mencari kebahagian sendiri dengan menjadi insan yang baik dan beriman. Bila perasaan dan hati anda telah bahagian maka anda pasti dapat membahagiakan insan lain disekeliling anda.
''Jadilah manusia yang boleh memberi manfaat kepada manusia lain khususnya kepada ibu bapa sendiri dan perbanyakkan sedekah jika anda mampu. Kerana itulah yang lebih penting sebenarnya dalam menjalani kehidupan di dunia ini dan menjadi bekalan di akhirat.
''Jangan sesekali mengharapkan jika anda bahagiakan hidup pasangan anda, maka dia akan bahagiakan anda! Belum tentu!
''Lebih teruk jika anda memikirkan hanya wang boleh membahagiakan anda. Kadang kala bila suami banyak wang anda akan jadi lebih tidak bahagia. Begitu juga halnya jika anda cuba menambat hati suami dengan memberikan dia wang. Lagi banyak anda beri, maka lebih jauh dia tinggalkan anda setelah apa yang dihajati tercapai.'' Demikian nasihat Farahazwan panjang lebar kepada wanita yang tidak pernah belajar tentang erti sebenar kehidupan dalam berumahtangga.
No comments:
Post a Comment