- that's me:anak,ibu,isteri,pelajar,guru,academician-

- that's me:anak,ibu,isteri,pelajar,guru,academician-

Saturday, April 30, 2011

NEW SYSTEM FOR FORM 6 STUDENTS

  • What: New grading system for STPM examinations
  • When: To be implemented in 2012
  • Explanation of the modular system:
  1. The modular system will have its assessment conducted at the end of the semester.
  2. Each of the three semesters will have assessments.
  3. The motivation behind this move is to mimic the continuous assessment in typical tertiary education institutions.
  4. Coursework and school-based projects will also be assessed.
  5. Only lower six students will be affected.
  6. The content of the STPM syllabus however will stay the same.
  7. This new announcement by Deputy Education Minister Datuk Dr. Wee Ka Siong will overwrite those made in 2009.

Sedutan dari Harian Metro:

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melanjutkan pelajaran di tingkatan enam mempunyai peluang cerah menjejakkan kaki ke institut pengajian tinggi (IPT).
Ini kerana, tingkatan enam ibarat pra-universiti dan dengan keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), ia melayakkan mereka mengikuti program ijazah.
Walaupun STPM bagaikan satu tiket ke IPT, kebanyakan pelajar lepasan SPM kini tidak berminat melanjutkan pelajaran di tingkatan enam sebaliknya memilih program pengajian Asasi, Matrikulasi, Diploma atau di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk meneruskan pengajian.
Mana tidaknya, walaupun dikatakan pra-universiti, sistem pembelajarannya tetap dilaksanakan seperti sistem persekolahan biasa di sekolah menengah.
Selain itu, pelajar di tingkatan enam turut merungut kerana perlu belajar mata pelajaran yang membebankan dan apabila mendapat keputusan STPM, mereka tiada peluang ke IPT.
Justeru, bagi menarik minat lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke tingkatan enam, sistem terminal yang dilaksanakan kini akan di gantikan dengan sistem modular.

Sistem modular adalah sama dengan sistem di universiti yang membabitkan tiga semester.
Menerusi sistem modular, pelajar hanya menumpukan kepada modul semester berkenaan berbanding sistem penggal, pelajar terpaksa mengulang kaji pelajaran dari Tingkatan Enam Bawah hingga Tingkatan Enam Atas.
Kaedah taksiran modular akan mengambil kira empat komponen iaitu penilaian berasaskan kurikulum dengan amalan peperiksaan biasa, projek sekolah, kerja amali dan ujian berasaskan sistem peperiksaan ‘open book’.
Dalam sistem modular, 20 hingga 30 peratus keputusan STPM diperolehi dari tugasan kursus atau projek dan penilaian lain selain kerja amali manakala 70 hingga 80 peratus bergantung kepada peperiksaan akhir pengajian.
Peperiksaan akhir tahun masih perlu dalam STPM untuk menentukan tahap keupayaan pelajar apabila memohon ke universiti.
Walaupun sistem itu hanya dilaksanakan menjelang 2011, pelbagai pihak memberi pandangan pro dan kontra.
Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, berkata pihaknya menyokong sistem modular menggantikan sistem terminal.
Beliau berkata, pembelajaran di tingkatan enam ibarat tadika sebelum masuk darjah satu dan ia perlu disesuaikan dengan suasana persekolahan supaya mereka tidak panik.
“Jika dilihat pembelajaran di tingkatan enam sekarang, ia sangat terikat sistem persekolahan biasa.
“Kita mahu pelajar tingkatan enam menuntut dalam persekitaran universiti sebenar kerana ia persediaan awal sebelum melangkah ke IPT.
“Dengan sistem modular, kita dapat membezakan pembelajaran di tingkatan enam dan sekolah menengah walaupun di kawasan yang sama,” katanya.
Katanya, secara tidak langsung, sistem itu mengangkat martabat tingkatan enam dan lagi dianggap pilihan terakhir melanjutkan pelajaran.
“Kita sedia maklum, ada sesetengah pelajar melanjutkan pelajaran di tingkatan enam kerana gagal memperoleh tawaran dari IPT atau matrikulasi.
“Justeru, mereka menganggap tingkatan enam tempat terakhir menyambung pelajaran,” katanya.
Beliau percaya sistem baru ini akan membuka minda pelajar tingkatan enam keluar dari kepompong pelajar sekolah dan lebih setaraf dengan rakan-rakan mereka di IPT.
“Sistem ini akan membantu pelajar untuk berfikir jauh dan tidak terikat dengan pemikiran pelajar sekolah,” katanya.
Sementara itu, bekas pelajar tingkatan enam, Amelia Ahmad Kamal, 27, berkata sistem itu langkah yang bijak dan sepatutnya sudah lama dilaksanakan.
“Tanyalah sesiapa pasti mereka mengakui cara belajar di tingkat enam sangat menyusahkan.
“Untuk menghadapi STPM, kami membaca semua buku tingkatan enam bawah dan atas yang dipelajari sepanjang dua tahun.
“Jika tersilap langkah dan gagal menguasai subjek yang dipelajari sepanjang dua tahun itu, mereka akan kecundang dan tiket ke IPT lebur begitu saja,” katanya.
Selain itu, dengan sistem penggal seperti mana yang dilaluinya dulu, ia membataskan kreativiti pelajar dan menjadikan mereka tidak berkembang.
“Sebagai pelajar di tingkatan enam, kita sebenarnya setaraf dengan pelajar di IPT dan sudah boleh berfikir dengan lebih meluas.
“Tetapi, dengan sistem pembelajaran itu, kita tidak punya masa untuk semua itu dan akan lebih memfokuskan kepada pelajaran,” katanya.- Harian Metro

Perspective View of the System

Sebenarnya saya sangat berminat untuk membicarakan isu tingkatan enam dalam ruang ini. Pada kesempatan ini saya cuba mengenal pasti punca mengapa 2/3 daripada sejumlah 280 orang pelajar yang ditawarkan ke tingkatan enam tidak mendaftarakan diri di sekolah saya Manakala sebilangan pelajar yang telah mendaftar sedang mengintai-intai peluang untuk keluar daripada tingkatan enam.

Aliran keluar dan masuk yang aktif.

Di sekolah-sekolah Pusat Pengajian Tingkatan Enam (PPTE) pada ketika ini masih lagi "sibuk". Para pelajar enam rendah masih belum lagi settled. Aliran traffic keluar masuk masih lagi berlaku walaupun pengajaran dan pembelajaran (p&p) telah bermula. Hal tersebut berlaku disebabkan masih ada beberapa lagi peluang yang mereka sedang rebut sebelum terlewat.

Pertama, ke matrikulasi IPTA. Selepas gagal ke matrikulasi KPM, para pelajar masih lagi berpeluang untuk ke matrikulasi serta pusat asasi yang dikendalikan oleh IPTA. Namun, lazimnya bilangan yang terlibat tidak begitu ramai kerana biasanya para pelajar ini mempunyai keputusan yang cemerlang dalam SPM tetapi enggan ke matrikulasi KPM.

Kedua, perpindahan keluar dan masuk sekolah. Ada sebilangan pelajar yang ditawarkan ke PPTE yang tidak bersesuaian dengan kedudukan tempat tinggal mereka. Sebagai contoh, sewaktu di tingkatan 5, para pelajar belajar di sekolah yang tiada tingkatan 6. Oleh itu, apabila tawaran sampai mereka ditempatkan di sekolah lain yang lebih jauh serta berkemungkinan tiada kemudahan asrama. Dalam kes ini para pelajar terpaksa mencari PPTE yang ada asrama atau memilih belajar di sekolah yang berhampiran dengan rumahnya walaupun ada kalanya terpaksa "berhijrah" ke negeri lain.

Ketiga, bertukar bidang. Kes ini lazimnya melibatkan para pelajar aliran sains. Mereka ditawarkan ke aliran sains memandangkan keputusan mereka yang agak baik serta layak untuk ditawarkan ke aliran sains. Walau bagaimanapun sejarah lampau barangkali banyak menghantui mereka. Bukan mudah berada di tingkatan 6 aliran sains. Jika diimbas kembali pengwujudan pusat matrikulasi serta asasi sains, fenomena ini ada asasnya. Justeru, ramai daripada kalangan mereka akan bertukar ke bidang kemanusiaan. Jika mereka ditawarkan ke sekolah (yang ada aliran sains) yang terletak jauh dari rumah, walhal ada sekolah PPTE yang terletak berhampiran dengan kediaman mereka tetapi tiada aliran sains, kebanyakan kes mereka akan memohon pula bertukar sekolah pula.

Keempat bertukar kerana reputasi sekolah. Dalam konteks semasa,t iada halangan kepada para pelajar untuk bersekolah di mana-mana. Walaupun pihak JPN menetapkan sekolah-sekolah tertentu untuk menerima para pelajar tersebut, tetapi selepas pendaftaran para pelajar boleh memohon tukar ke sekolah-sekolah lain yang dilihat lebih hebat. Kadang-kadang ia melampaui daerah dan negeri. Asalkan perkara-perkara asas seperti tempat penginapan tiada masalah, maka perkara-perkara lain turut tiada masalah.

Kelima, tawaran UPU. Menjelang hujung Jun dan awal Julai, fenomena gelombang kedua keluar masuk ini akan berlaku secara lebih besar. Pada ketika itu UPU akan menawarkan program diploma dan pra diploma kepada para pelajar yang layak. Sekitar 90% pelajar yang ditawarkan ke program tersebut akan menerima tawaran. Begitu juga ada yang ditawarkan ke program yang sama di IPTS. Kalau dilihat trend beberapa tahun lepas, para pelajar yang kekal bertahan di tingkatan enam sekitar 70% daripada jumlah pelajar tingkatan enam rendah yang ada.

Keenam, pengambilan kedua IPTA. Bagi pelajar yang gagal mendapat tawaran ke IPTA, lazimnya akan membuat rayuan. Dalam kes-kes sebegini bilangannya tidaklah ramai. Mungkin sekitar beberapa orang sahaja.

Daripada beberapa faktor di atas, jelas sekali tingkatan enam bukanlah destinasi utama yang menjadi pilihan para pelajar selepas SPM. Sebab itulah hanya 1/3 pelajar yang ditawarkan ke tingkatan enam mendaftarkan diri di sekolah saya. Selebihnya ghaib dan tentunya tidak berminat. Saya melihat perkara ini agak serius. Saya berharap fenomena tersebut akan berkurangan apabila sistem modular (SM) dilaksanakan menjelang 2011. Namun, daripada penelitian saya, ada dua isu besar yang harus diberi peneilitian yang sewajarya. Pertama isu pembelajaran dan kedua isu persekitaran. Bagi menjelaskan kedua-dua isu tersebut, elok rasanya kalau saya membuat perbandingan dengan pesaing bagi kedua-dua isu tersebut sekali gus.

Isu Pembelajaran.

STPM dikatakan susah. Banyak buku kena baca. Belum ada jaminan pasti lulus STPM dan akhirnya ke menara gading. Berbanding dengan di IPTA atau di IPTS. Bilangan pelajar yang gagal mendapat diploma terlalu kecil. Sesi pembelajaran secara semester tidak membebankan pelajar. Peperiksaan ditadbir secara dalaman di IPTA dan IPTS. Oleh itu para pelajar lebih tahu skop topik yang akan diuji dalam peperiksaan. Selain daripada itu kerja-kerja kursus yang dilakukan akan menyumbah sejumlah peratusan yang agak besar dalam peperiksaan akhir.

Jadual waktu yang rigid. Di tingkatan enam masih lagi mengamalkan jadual waktu yang lebih kurang sama dengan para pelajar aliran perdana (tingkatan 1 hingga 5). Dalam kes di sekolah saya, beberapa aktiviti seperti R&D, kolokium, kokurikulum dilaksanakan selepas waktu p&p iaitu dari pukul 1.10 sehingga 2.30 petang. Keadaan ini berlainan di IPTA dan IPTS. Mereka akan datang dan pergi mengikut kesesuaian masa p&p. Selebihnya, sama ada mereka akan ke perpustakaan atau menyiapkan tugasan-tugasan di rumah atau di bilik-bilik khas.

Isu Persekitaran.

Kekurangan bahan di pusat sumber sekolah (PSS). Walaupun mata-mata pelajaran di peringkat STPM masih relevan dengan sistem persekolahan, namun bahan rujukan bertaraf prauniversiti tidak disediakan dengan secukupnya. Bahan-bahan bacaan ilmiah (bukan nota dan bahan rujukan peperiksaan) yang menyokong p&p sangat minimum. Sedangkan semua mata pelajaran di peringkat STPM tiada sebarang buku teks. Hal sedemikian tidak berlaku di IPTA dan IPTS. Masing-masing menjadikan pusat sumber sebagai tarikan utama para pelajar ke situ. Masing-masing menyatakan pusat sumber mereka mempunyai koleksi rujukan yang terbanyak berbanding pusat-pusat pengajian yang lain.

Peraturan yang rigid ke PSS. PSS masih mengikut prosedur biasa seperti peraturan yang dikenakan kepada para pelajar aliran perdana. Umpamanya mesti ada kebenaran guru atau bersama-sama guru sewaktu berkunjung ke PSS. Fenomena tersebut kadang-kadang menyebabkan para pelajar malas hendak ke PSS. Berada di IPTA dan IPTS, pusat sumber adalah "rakan" yang sangat akrab kepada para pelajar. Mereka bukan sahaja menjadikan pusat sumber sebagi tempat membuat rujukan malah pelbagai aktiviti lain termasuklah perbincangan, akses internet dan konsultasi dengan pensyarah.

Uniform sekolah. Daripada sembang-sembang dengan para pelajar yang tidak begitu seronok berada di tingkatan enam menyatakan bahawa mereka "cemburu" dengan rakan-rakannya yang berada di IPTA dan IPTS tidak lagi memakai uniform sekolah. Mereka dilihat sudah jemu memakai uniform sekolah sejak 11 tahun yang lalu. Keadaan tersebut tidak terlalu ketara kira-kira 10 tahun yang lalu kerana pada ketika itu tidak banyak IPTA dan IPTS diwujudkan untuk program-program pasca SPM.

Justeru, melalui pelaksanaan SM yang akan berlangsung pada tahun hadapan, kita tidak pasti sama ada sentimen tidak suka ke tingkatan enam akan berakhir atau akan mencetuskan pula fenomena yang lain. Sekali imbas, SM hanya berupaya menyelesaikan sebahagian isu pembelajaran sahaja. Jika dilihat jadual pelaksanaan sistem tiga semester seperti di matrikulasi dan di IPTA/ IPTS, ia akan meringankan beban pembelajaran para pelajar. Mereka akan menduduki tiga peperiksaan sepanjang tiga semester. Jika keputusan mana-mana dua semester awal tidak begitu baik, mereka boleh mengulang pada semester ketiga. Manakala jadual yang rigid masih lagi dilihat tidak berubah. Para pelajar dikehendaki berada di sekolah dari pukul 7.30 pagi sehingga 2.30 petang. Walau bagaimanapun saya tidak melihat ia satu masalah yang sangat besar lagipun para pelajar masih lagi "mesra" dengan budaya belajar yang sedemikian.

Namun, isu-isu persekitaran dilihat lebih mencabar pihak KPM. Walaupun banyak budi bicara serta penyelesian diserahkan kepada pihak sekolah, namun ia sebenarnya memerlukan campur tangan pihak KPM. Isu PSS yang saya nyatakan di atas serta banyak lagi kemudahan asas untuk prauniversiti seperti yang digariskan dalam senarai semak KPM sewaktu memantau minggu orientasi tingkatan enam rendah baru-baru ini perlukan tindakan segera daripada pihak KPM. Bilik kuliah (berserta peralatannya), bilik penolong kanan tingkatan 6, bilik guru para pensyarah, makmal sains, makmal komputer dan banyak lagi. Jika semau itu perlu dilengkapkan, sudah pasti akan memakan kos yang sangat tinggi.

Pada pandangan saya, pihak KPM perlu memikirkan alternatif lain yang lebih praktikal. Sebagai contoh membina sebuah PPTE di setiap daerah. Atau menukar status sebuah sekolah tertentu dalam setiap daerah daripada sekolah aliran perdana kepada PPTE. Oleh sebab bilangan pelajar tingkatan enam sehingga kini sekitar 1/3 daripada sejumlah yang ditawarkan maka pilihlah sekolah yang sederhana besar saiznya tetapi cukup prasarana untuk sebuah PPTE berfungsi dengan baik.

Kewujudan PPTE sejak dijenamakan semula sebenarnya mengundang beberapa sub budaya yang agak tidak sihat. Sebagai contoh, pemisahan pentadbiran antara PPTE dan aliran perdana mengundang tafsiran-tafsiran yang negatif serta berupaya mengeruhkan hubungan antara guru dan pihak pentadbiran.

Kewujudan perjawatan guru akademik tingkatan enam (GAT6) DG44, DG48 dan DG52 dilihat menjadi idaman kepada ramai guru. Bukan sahaja guru-guru yang pernah mengajar tingkatan enam, malah mereka yang tidak pernah mengajar pun turut berminat. Ada cerita-cerita yang menyatakan penolong kanan pun berminat melepaskan jawatan untuk memohon gred yang lebih tinggi dalam GAT6. Perkara tersebut tidaklah menjadi satu masalah. KPM pun membenarkan sesiapa yang berkelayakan untuk memohon GAT6. Walau bagaimanapun dalam proses memperakui GAT6, pihak Bahagian Sumber Manusia (BSM) punyai syarat tertentu bagi memilih GAT6 yag benar-benar layak. Justeru, ramai yang tak dapat. Maka banyaklah cerita-cerita, ulasan-ulasan, kritikan-kritikan yang pelbagai terhadap GAT6 yang diperakukan oleh pihak BSM.

Begitu juga dengan bentuk jadual waktu p&p para pensyarah tingkatan 6 yang turut dipertikaikan oleh sesetengah pihak. Ia dilihat tidak adil jika dibandingkan dengan guru-guru aliran perdana. Waktu mengajar yang dilihat sedikit manakala kewajaran memasukkan beberapa aktiviti seperti R&D, kolokium, pentaksiran dan beberapa lagi dalam jadual waktu turut dipersoalkan.

Penglibatan dalam aktivit kokurikulum turut menjadi isu. Guru-guru tingkatan enam yang mengandalikan aktiviti kokurikulum di peringkat tingkatan enam masih perlu dilibatkan dalam aktiviti kokurikulum dalam aliran perdana. Oleh itu, setiap guru tingkatan enam mempunyai lebih daripada tiga bidang kokurikulum. Apabila keadaan ini berlaku menyebabkan beberapa salah faham timbul dan hubungan antara rakan sejawat mulai bermasalah.

Jika diteliti secara mendalam bayak lagi titik bengik yang timbul dengan pewujudan "dua" sistem aliran ini. Oleh itu, untuk perancangan jangka pendek dan panjang sangat wajar dan praktikal jika PPTE beropersi dalam sebuah sekolah di setiap daerah. Apa juga pembaharuan atau penjenamaan yang berlaku tidak akan menimbulkan rasa tidak senang pihak-pihak lain yang tidak berkaitan tetapi sering dikaitkan kerana salah tafsir tentang sesuatu perkara.

Jika alternatif ini menjadi realiti, lebih banyak daya tarikan dapat dilakukan. Masa pembelajaran yang lebih fleksibel, kemudahan asrama yang lebih optimum, isu uniform dan banyak lagi. Tidak hairan jika minat para pelajar akan bertukar arah dan bersedia menerima tawaran belajar PPTE! Tambahan pula, pegawai yang mengurus tingkatan enam di peringkat PPD, JPN dan KPM akan lebih mudah dan tentunya akan lebih efisyen.

Kesimpulannya, usaha menjanamakan semula tingkatan enam dilihat sangat wajar. Hal ini sedimikian kerana tingkatan enam merupakan "jalan terus" kepada para pelajar ke program ijazah di universiti selain program matrikulasi dan asasi sains. Walau bagaimanapun bagi meletakkan jenama tersebut sejajar dengan IPTA dan IPTS, ia memerlukan kepada usaha pemurnian keseluruhan sistem yang berkaitan.

No comments:

Post a Comment